My Aura Success

My photo
Pusing, Perak, Malaysia
ALL ABOUT SUCCESS: SUCCESS IS POSITIVE ELEMENTS; POSITIVE ELEMENTS RELEVANT WITH OUR POSITIVE THINKING AND ACTION

Friday, June 10, 2011

Anugerah Allah - Selamat Hari Jadi Anakku Izzah Damia...




.....Izzah Damia anakku......

Sempena 16hb April ini, anak ibu ni akan berusia 4 tahun. Syukur kepada Allah atas kebesaranNya mengurniakan Damia dalam hidup ibu dan ayah. Pelbagai rintangan dan dugaan dari mula ibu mengandungkan Damia sehingga ke saat melahirkan Damia hanya pada usia kandungan mencecah 28 minggu. Begitu juga dengan ayah, risaukan ibu dan kandungan sehingga kadang-kadang baru sahaja sampai Kuala Lumpur dah kena balik ke Ipoh semula apabila mendapat panggilan kecemasan dari ibu. Tetapi kesusahan ayah dan kepayahan ibu sewaktu melahirkan Damia telahpun terbalas dengan melihat keadaan dan sihatnya Damia sehingga kesaat ini.

Masih terbayang saat melahirkan Damia pada jam 7.35 pagi 16hb April 2007, hanya kedengaran suara kecil tangisan selepas dilahirkan dan selepas itu Damia terus dibawa ke NICU kerana Damia terlalu kecil (1.2kg) dan perlu diberikan bantuan oksigen dengan segera. Alhamdullilah dengan kebesaran Allah, Damia berjaya mendapat bantuan oksigen dan ditempatkan didalam 'incubator' sebagai penganti rahim ibu. Terima kasih juga kepada doktor dan nurse di NICU yang bertungkus lumus untuk menyelamatkan Damia yang semestinya mempunyai paru-paru yang masih belum sempurna.

Seharian ibu sendirian tanpa Damia di dalam wad ibu bersalin, dalam hati ibu hanya Allah sahaja yang tahu, menahan sebak bila memikirkan bagaimanalah keadaan Damia dalam NICU tu. Melihat ibu-ibu lain bersama bayi mereka dan menyusukan mereka, lagilah meruntun hati ibu ketika itu. Setelah petang, barulah ibu dibenarkan untuk melihat Damia. Ketika dan saat melihat Damia didalam 'incubator' bersama-sama dengan wayar-wayar dan tiub-tiub memenuhi setiap ruang muka dan badan Damia, menyebabkan airmata ibu tak dapat ditahan lagi...dan bermula dari saat itu, hanya Damia sendirian berjuang bersama-sama ubat-ubatan dan jarum jemarum untuk hidup. Ibu hanya mampu memberikan usapan kasih sayang, itupun hanya melalui ruang yang hanya muatkan tangan ibu sahaja untuk mencapai Damia di dalam 'incubator'. Ibu hanya mampu berdoa supaya Damia sentiasa kuat untuk terus berada dimuka bumi Allah ini bersama ibu dan ayah. Setiap kali ibu dapat mengusap Damia melalui 'incubator', ibu sentiasa berfikiran positif kerana itulah nasihat daripada 'nurse' "...ibu kena positif ... insyaallah bayi pun akan merasakannya...dan terus berjuang untuk hidup untuk melihat ibu dan ayah"...ibu masih ingat lagi sehingga kini kata-kata itu.

Seminggu, dua minggu Damia masih di dalam 'incubator' dan bernafas dengan bantuan pernafasan. Susu ibu pun diberikan melalui tiub yang dimasukkan kedalam mulut Damia dan ditekan masuk sehingga keperut. Nampak begitu terseksa setiap kali 'nurse' memasukkan dan mengeluarkan tiub tersebut dari Damia. Meruntun dan sedih hati ibu, menangis setiap kali melihatnya. Ya, setelah mencecah tiga minggu, pastinya 'nurse' mencuba untuk mengalakkan Damia untuk bernafas tanpa bantuan tiub oksigen. Ketika inilah pertama kali ibu dapat memeluk dan mendukung Damia atas tangan ibu sendiri. Tetapi hanya seketika, tidak sampai pun satu minit, muka Damia dah bertukar biru kerana tiada oksigen. Itu tandanya Damia masih belum pandai bernafas dengan sendirinya. Damia dimasukkan semula kedalam incubator dan terus diberikan bantuan oksigen. Begitulah setiap kali percubaan, Damia akan kembali semula memerlukan bantuan oksigen. Hampir 4 minggu, untuk kesekelian kalinya Damia berjaya bernafas dengan sendiri dan pada masa itu hati ibu dan ayah gembira sangat dan Damia dipindahkan ke bahagian lain tetapi masih dalam NICU kerana berat Damia masih belum mencecah 1.5kg.

Ibu berkampung di hospital, dan ayah berulang alik dari Kuala Lumpur ke Ipoh setiap minggu. Begitulah rutinnya sehinggalah Damia dibenarkan keluar daripada NICU tetapi ditempatkan pula diwad kanak-kanak 6C. Di situ, ibu dan Damia berkampung lagi kerana menunggu berat Damia mencecah 1.7kg barulah dibenarkan keluar dari hospital. Hampir 4 minggu pula ibu bersama Damia di wad 6C. Tetapi didalam wad 6C kita bersama kerana Damia dah pandai bernafas sendiri. Alhamdullilah. Ibu menghabiskan 'pantang' ibu dihospital bukan dirumah seperti ibu-ibu lain. Tetapi semua itu terbalas dengan melihat keadaan Damia sekarang. Alhamdullilah, Damia diberikan Allah kekuatan serta semangat untuk terus bersama dengan ibu dan ayah dan kini bersama adik Izzah Danishah.

Walaupun ibu dan Damia telah dibenarkan keluar dari hospital setelah mencapai berat yang ditetapkan oleh hospital, Damia tetap kena menghadapi rutin pemeriksaan setiap bulan untuk mengetahui tahap kesihatan Damia luar dan dalaman. Alhamdullilah..Damia dilihat sempurna seperti kanak-kanak lain yang dilahirkan cukup 9 bulan kandungan. Syukur padaMu Ya Allah.

Sempena hari jadi Damia yang ke-4 ini, Ibu hadiahkan cerita ceriti ini semoga apabila Damia boleh membaca dan memahaminya kelak akan mengingati akan kebesaran Allah dan menghormati ibu serta ayah. Ibu dan ayah doakan semoga Damia akan terus diberikan kesihatan yang baik dan menjadi anak yang solehah.

SELAMAT HARI JADI ANAKKU DAMIA.........DARIPADA IBU DAN AYAH.

No comments: